Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Sebagai Rakyat Kelas Ketiga
Oleh Faisal Mustaffa
Setiap tahun tanggal 1 Februari, Wilayah Persekutuan menyambut Hari Wilayah Persekutuan. Bagi negeri yang tidak mempunyai sultan bagi menyambut hari keputeraan, Hari Wilayah Persekutuan menjadi hari yang penting bagi rakyat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Malangnya, sebagai rakyat Wilah Persekutuan, mereka tidak mempunyai hak untuk memilih wakil rakyat mereka seolah-olah menjadi warganegara kelas ketiga.
Wilayah Persekutuan mempunyai 700,000 pengundi berdaftar (kira-kira tujuh peratus daripada senarai pemilih seluruh Negara). Selepas tahun 1965, pilihan raya kerajaan tempatan dibekukan. Di bawah seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pilihan raya Kerajaan Tempatan dihentikan. Undang-undang Kerajaan Tempatan di Sabah dan Sarawak juga tidak mempunyai peruntukan tentang pilihanraya Kerajaan Tempatan. Warga Wilayah persekutuan juga hilang hak mengundi kedua mereka selepas Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan pada 1974, 1984 dan 2001.
Akta 171(Akta Kerajaan Tempatan 1976) Seksyen 10 memperuntukkan bahawa sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengandungi Datuk Bandar atau Yang Dipertua serta tidak kurang daripada lapan (8) dan tidak lebih daripada 24 orang Ahli Majlis yang dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman luas mengenai PBT yang mereka dialami atau mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 [Akta 473] juga tidak selaras dengan cadangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan semula pilihanraya Kerajaan Temaptan kerana tiada undang-undang yang membolehkan ianya diadakan kecuali undang-undang tersebut dipinda.
Menurut Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan melalui jawapan lisan Dewan Rakyat pada 12 April 2010, Pilihanraya Kerajaan Tempatan bukanlah faktor yang menentukan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan PBT.
“Tiada Cukai Tanpa Perwakilan”
Pergerakan Revolusi Amerika 200 tahun yang lampau memperjuangkan hak mereka untuk tidak mahu membayar cukai sekiranya mereka tidak diberi hak untuk memilih. Malah, Menteri Wilayah Persekutuan yang duduk di Kabinet juga seorang senator yang tidak dipilih melalui proses pengundian rakyat.
Di dalam prinsip demokrasi, hak untuk diwakili mula wujud apabila diperkenalkan tanggungjawab membayar cukai. Warganegara kelas pertama mestilah diberi hak mengundi di stiap peringkat; persekutuan, negeri dan tempatan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kecekapan PBT adalah berdasarkan gabungan pelbagai faktor seperti kepimpinan yang dinamik, tenaga kerja yang mahir dan terlatih, proses dan prosedur kerja yang cepat dan mudah, perancangan bandar yang mapan, keseragaman undang-undang dan peraturan, pengurusan sumber hasil dan kewangan yang cekap, pelaksanaan projek pembangunan yang berkesan dan sebagainya. Kini, Little Napoleon yang wujud melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya telah menjadikan pembayar-pembayar cukai menanggung kerugian besar akibat daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak mampu bersaing.
Kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya
Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya selain pilihan raya yang disebut dalam Fasal (1) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan peruntukan Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh menjalankan pilihan raya selain pilihan raya yang disebut dalam Fasal (1) sekiranya diberi kuasa oleh undang-undang persekutuan atau negeri.
Undang-undang persekutuan yag berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan ialah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 [Akta473]. Bahagian V akta 473 mempunyai peruntukan mengenai kuasa SPR untuk menyelia pilihan raya bagi melantik Anggota Majlis sesuatu pihak berkuasa tempatan. Walau bagaimanapun, semua peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan dalam Akta 473 telah dimansuhkan dan dihentikan kuat kuasanya atau terhenti mempunyai kesan oleh subseksyen 15(1) Akta kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].
Dengan termansuh dan terhentinya kuat kuasa dan kesan bagi apa-apa peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan di bawah Akta 473, seksyen 10 Akta 171 pula menghendaki keanggotaan sesuatu Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibuat secara pelantikan (by appointment).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 11 November 2010, jika mana-mana kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan semula pilihan raya PBT, suatu keputusan dasar hendaklah dibuat terlebih dahulu bagi menentukan sama ada pilihan raya kerajaan tempatan henda diadakan semula atau sebaliknya.
Ini kerana perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan (termasuklah pilihan raya kerajaan tempatan) kecuali bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah diperuntukkan dalam Butiran 4, Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, apa-apa perkara berhubung dengan kerajaan tempatan termasuklah pilihan raya kerajaan tempatan merupakan perkara di bawah bidang kuasa negeri masing-masing. Walau bagaimana pun, bidang kuasa bagi mana-mana negeri hanya berkenaan adalah tertakluk kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) (National Council for Local Government) yang ditubuhkan mengikut Perkara 96A Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan kepada Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan, walaupun kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa Negeri masing-masing, apa-apa perkara yang melibatkan perubahan dasar dan perundangan mengenainya adalah tertakluk kepada kelulusan MNKT.
