February 25th, 2011
poskod

Kenapa Kes Tembak Mati Polis Berterusan?

sehingga meragut nyawa. Modus operandinya sama: yakni, “bagi menyelamatkan diri”.

Tetapi, apabila dikaji mengenai satu-satu kes, mangsa yang ditembak mati rupanya remaja belasan tahun — contohnya, kes Aminulrasyid Amzah. Allahyarham adik Aminulrasyid, seorang remaja berusia 15 tahun, maut ditembak di bahagian kepala pada 26 April 2010 yang lepas.

Adakah logik bagi fikiran waras menerima alasan remaja seperti ini akan bertindak ganas dengan melawan, sehingga perlu ditembak di kepala?

Kes Aminulrasyid

Pihak polis, dalam kenyataan awal, mendakwa Aminulrasyid terlibat dalam kes samun dan jenayah sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Polis juga mendakwa menjumpai sebilah parang dalam kenderaan mangsa.

Mengikut seorang saksi utama kejadian itu, apa yang berlaku ialah saksi dan mangsa telah memotong kenderaan polis dengan laju, yang mana kemudiannya mereka dikejar sebuah kenderaan MPV polis, dan ditembak, mengakibatkan kereta mereka terbabas.

Saksi mendedahkan tembakan telah mengenai kepala mangsa sehingga mangsa terkulai layu. Saksi turut mendakwa bahawa dia telah keluar dari kereta untuk menyerah diri. Akibatnya, salah seorang anggota polis menendangnya dari belakang. Saksi juga, dalam aduannya, mendakwa anggota polis yang lain turut memukul dan memijaknya beramai-ramai.

Kes Lain

Statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa seramai 183 orang telah mati akibat ditembak polis dari tahun 2007 hingga 2009. Penjelasan yang dikemukakan oleh pihak polis (semasa memberi keterangan di dalam kes fitnah P Uthayakumar pada 29 November 2010) menyatakan bahawa terdapat seramai 82 kes tembakan polis terhadap orang awam pada tahun 2008, dan 88 kes pada tahun 2009. Pada tahun 2001, hanya terdapat lima kes yang dilaporkan.

Selain Aminulrasyid, kes-kes lain yang dikenalpasti ialah Vikines Vesuanathan (ditembak mati pada tahun 2003 di Nilai, Negeri Sembilan); Muhamad Nir Oth (ditembak mati pada tahun 2006 di Kepong, Kuala Lumpur); Mohd Arifudin Mohamad (ditembak mati di Kuantan, Pahang, pada tahun 2008); dan Rames Raman (ditembak mati pada tahun 2008 di Kulim, Kedah).

Kesemua mereka ini berusia 19 tahun.

Pada tahun 2009, Lobanarthan Gobi ditembak mati oleh polis ketika mendiang berumur 17 tahun, bersama-sama Vissvalingam Mookayah Devar (18 tahun) di Klang.

Menurut penjelasan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein melalui jawapan lisan parlimen pada 28 Jun 2010, secara keseluruhannya jumlah penjenayah yang ditembak mati sepanjang tahun 2000 hingga 2009 adalah seramai 279 orang. Kes kematian dalam lokap bagi tempoh yang sama pula adalah seramai 147 orang.

Bagi kes-kes tersebut, pihak polis sering didapati menyebelahi dan memberi perlindungan kepada anggota-anggota polis yang terbabit.

Polis Juga Gugur

Semasa kes Aminulrasyid berlaku, Dewan Negara sedang bersidang. Senator Ramakrishnan membawa usul tergempar mengenai isu ini, tetapi usulnya ditolak — kerana kononnya ia sedang dibicarakan dan dalam siasatan.

Malah, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin pula menyanggah dengan usul sedemikian sepatutnya termasuk anggota-anggota polis yang mati akibat dibunuh penjenayah.

Ya, memang benar ada kes sedemikian berlaku. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 3 November 2010 di Parlimen, seramai 90 orang anggota polis telah terbunuh dan 343 orang cedera semasa bertugas sejak tahun 2000 hingga 2010.

Tidak dinafikan ada anggota polis gugur ditembak penjenayah. Tetapi apa penjelasan pihak polis mengenai kes remaja yang ditembak mati, yang disebutkan di atas?

Prosedur Polis

Berdasarkan penjelasan Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat pada 2 Disember 2010, prosedur menjalankan tangkapan, dalah sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 15 Kanun Tatacara Jenayah, iaitu:

  • Apabila pegawai polis atau orang lain hendak menangkap orang, ia hendaklah menyentuh atau mengurung jika ia menyerahkan dirinya melalui percakapan ataupun tingkah lakunya.
  • Jika orang yang hendak ditangkap itu melawan dengan kekerasan atau cuba lari daripada tangkapan itu, maka pegawai itu atau lain itu boleh menggunakan sebarang langkah yang perlu untuk melaksanakan tangkapan itu.
  • Seksyen ini tidak sekali-kali memberi hak untuk menyebabkan kematian pada seseorang yang tidak dituduh berkenaan dengan kesaahan yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Menurut peruntukan yang sama, mana-mana pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap mana-mana orang yang terlibat dalam sebarang kesalahan yang dilakukan di mana-mana juga dalam Malaysia — yang mana ia adalah kesalahan boleh ditangkap di bawah sebarang undang-undang yang berkuatkuasa dalam bahagian Malaysia itu dalam mana ia telah dilakukan.

Tangkapan tanpa waran juga boleh dibuat terhadap sesuatu aduan yang munasabah yang dibuat, atau maklumat yang boleh dipercayai yang telah diterima, atau wujudnya syak yang munasabah di mana orang itu telah terlibat.

Senjata Api: Langkah Terakhir?

Pada 1 November 2010, Menteri Dalam Negeri menjelas bahawa penggunaan senjata api adalah langkah terakhir pihak polis dalam menumpaskan penjenayah. Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anggota polis, mereka dibekalkan dengan jaket kalis peluru.

Merujuk kepada kandungan dalam Kanun Keseksaan, serta Perintah Tetap KPN, bab D 222 (Penggunaan Senjata Api oleh Pegawai Polis): latihan-latihan amali — yang merangkumi mata pelajaran pengendalian pistol, dan latihan-latihan amali lapang sasar — sentiasa dilakukan.

Dalam kedua-dua latihan amali ini, anggota turut didedahkan dengan pengetahuan yang bukan sahaja merangkumi tentang pengendalian senjata api, tetapi juga pengetahuan mengenai bila dan masanya untuk melepaskan tembakan. Selain daripada itu, pemeriksaan terhadap senjata yang digunakan juga sentiasa dalam keadaan baik dan tidak rosak.

Ya, peraturan (sebut “standard operating procedure”) sudah lengkap tersedia. Tetapi adakah ianya dipatuhi? Tidakkah setiap anggota ini peka akan SOP yang dikeluarkan ini sebelum memakai pakaian seragam mereka?

Di manakah IPCMC?

Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang disarankan oleh Suruhanjaya Diraja pada 2005, mengusulkan 125 cadangan bagi memulihkan imej burk polis, dan memantau sebarang tindakan salahlaku polis. IPCMC ini bertujuan untuk menyiasat kes-kes ini berlaku dan tidak memberi imunisasi kepada pihak polis.

Tetapi, IPCMC telah digantikan dengan SIAP, yang kononnya lebih merangkumi pegawai-pegawai penguatkuasa yang lain. Tetapi adakah ini yang menjadi masalah tentang keganasan polis?

Selepas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, ditamatkan tempoh perkhidmatannya, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan polis. Ini mungkin menjadi buakan ledakan yang terpendam di lubuk hati bekas Ketua Polis Negara selama ini. Tetapi pihak berkuasa masih tidak mengendahkan dakwaan tersebut.

Jadi, sekiranya anda atau saudara-mara anda ditembak polis, kepada siapakah yang boleh kita adukan? Tepuk dada, tanya selera.

Likes

Poskod is a new way to find out about, and participate in, what’s going on near you.

We’re a community-specific news and information platform dedicated to providing comprehensive and trusted local coverage for individual towns and communities.

Networks

Following