“Parlimen 50 Tahun” Simpang Dari Sejarah Sebenar!

Oleh Faisal Mustaffa
Usaha Parlimen Malaysia menerbitkan Parlimen 50 Tahun, buku yang memperingati ulang tahun Parlimen ke-50 pada 2010, amat disanjungi. Tetapi kandungannya mengelirukan fakta sejarah dan semangat demokrasi berparlimen. Cetakannya juga tidak kemas — untuk sesuatu yang sepatutnya menjadi dokumen rasmi yang bersejarah.
Buku ini (yang diedarkan kepada senator-senator dan wakil rakyat di Parlimen, serta agensi kerajaan) menghuraikan latar belakang sejarah penubuhan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, di samping institusi perundangan (yang wujud lebih awal sebelumnya), sebagai pencapaian yang amat signifikan dalam evolusi sistem demokrasi berparlimen di negara kita — tetapi fakta-fakta biasa dan tidak rumit tidak dilampirkan.
Berat Sebelah
Buku tersebut mengandungi senarai Ahli Dewan Negara sejak penubuhannya. Tetapi, apabila dikaji, nama anggota Ahli Dewan Negara yang dilantik daripdaa kerajaan negeri yang diperintah oleh bukan Barisan Nasional (sejak tahun 1990 sehingga 2009) tidak terdapat di dalamnya.
Senarai tersebut termasuk DUN Kelantan 1990-2009, DUN Terengganu 2000-2006, DUN Pulau Pinang 2009 dan DUN Kedah 2008-2009. Jumlah senator yang terpinggir dalam senarai tersebut pula berjumlah melebihi 13 orang, yang sebahagian besarnya telah berkhidmat selama dua penggal. Agak tidak masuk akal nama mereka ini tertinggal, sedangkan mereka ini dilantik dan mengangkat sumpah mengikut adat resam Parlimen.
Ini adalah penafian fakta dan butiran sebenar sejarah, kerana menidakkan nama walaupun seorang pun senator dari DUN tadi adalah dengan sendirinya menafikan pengiktirafan terhadap autoriti dan wibawa DUN tersebut secara bertulis.
Penafian tersebut juga sekaligus menafikan jasa dan sumbangan senator tersebut ke Dewan Negara khususnya, dan Parlimen Malaysia amnya; sedangkan setiap patah ucapan dan kehadiran senator ini telah dicatat dan direkod di dalam hansard Parlimen.
Demokrasi membenarkan kehadiran wakil kerajaan negeri yang sah untuk berada di Parlimen, sekali pun mempunyai pegangan politik yang berbeza. Penafian nama mereka untuk dimasukkan di dalam buku tersebut menafikan semangat demokrasi hatta dalam fakta sejarah, rekod dan pelaporan fakta rasmi di dalam Parlimen. Penafian tersebut juga tidak selaras dengan tajuk buku tersebut — yang kononnya meraikan penubuhan Parlimen 50 tahun dahulu merupakan puncak kejayaan demokrasi di tanah air.
Sepatutnya, buku ini bertujuan untuk rujukan dan simpanan semua pihak termasuk perpustakaan seluruh Negara dan DUN seluruh negara yang merupakan fakta sejarah Parlimen yang sewajarnya benar dan tepat.

Upacara pengebumian Allahyarham Tun Razak pada 16 Januari 1976
Fakta
Di dalam ruangan “Tahu kah Anda?”, ia menerangkan mengenai sejarah Legislative Council yang telah meluluskan Perjanjian Persekutuan 1948.
Parlimen kita telah meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1959. Parlimen Malaysia, mengikut sejarahnya telah meluluskan Perlembagaan Malaysia 1963 dan di samping itu Parlimen Malaysia telah meluluskan tidak kurang dari 2,212 Rang Undang-undang dalam pelbagai bentuk pindaan serta Rang Undang-undang Induk.
Sepanjang hayat Parlimen Malaysia, 13 orang Diraja Yang Dipertuan Agong telah memainkan peranan dan di dalam setiap peranan itu ditatapkan pula pelbagai perubahan bentuk dan kerusi Dewan Rakyat:
- 1959 - 1964: 104 kerusi
- Mei 1964 - 1969: 104 kerusi juga
- Parlimen ketiga yang berakhir pada 1974: 144 kerusi
- Parlimen keempat pada November 1974 - 1978: 153 kerusi
- 1978 - 1982: 155 kerusi
- Julai 1982 - Julai 1986: 154 kerusi
- Parlimen ketujuh yang berakhir pada 1990: 177 kerusi
- Parlimen kelapan: 180
- Parlimen kesembilan: 192
- Parlimen ke-10: 193
- Parlimen ke-11: 219
- dan Parlimen tempoh sekarang, yakni ke-12: 222
Lantikan Persekutuan dan Lantikan Negeri
Perlantikan senator dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Malaysia di bawah Artikel 45.
Kesilapan dibuat pada mukasurat 280 Parlimen 50 Tahun, dimana seorang lantikan persekutuan (senator No 26, yakni Dato’ Musa bin Haji Sheikh Fadzir) dicatat sebagai lantikan kerajaan Kedah. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Artikel 45 (1) (a) memperuntukkan dua orang anggota bagi tiap-tiap negeri, dan mereka ialah Ir Zamri Haji Yusof dan Haji Yusof bin Husin. (Lantikan persekutuan dibuat di bawah Artikel 45 (1) (b) Jadual ketujuh Perlembagaan Malaysia.)
Halaman 236, 237, 279, 280 dan 281 juga melakukan kesilapan yang sama: nama senator lantikan persekutuan dicatat sebagai lantikan Dewan Undangan Negeri. Sebetulnya, negeri tersebut adalah negeri asal senator — bukan lantikan kerajaan negerinya!
Artikel 45 (b) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan mengenai 40 anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Tetapi mereka-mereka ini dicatatkan di dalam buku sebagai pewakilan negeri.
Sekiranya fakta tersebut tidak diperbetulkan, maka jumlah senator yang dipilih dan dilantik oleh negeri tersebut bertambah dan melebihi dua orang daripada Dewan Undangan Negeri (di bawah Artikel 45 (1) (a) Jadual ketujuh Perlembagaan Malaysia).
Saya kira, penyelidik-penyelidik yang bertanggungjawab mengumpulkan nama-nama senator untuk dimuatkan di dalam buku ini juga tidak begitu memahami Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 45! Agak keterlaluan sekiranya kita mendakwa mereka memutar-belitkan fakta dengan sengaja — tetapi perlantikan senator-senator tersebut haruslah dinyatakan dengan betul berdasarkan kesahihan fakta kerana buku ini bakal menjadi rujukan ramai.
Asas perlantikan untuk lantikan negeri berbeza tujuannya dengan lantikan persekutuan yang berasaskan Artikel 45 (2) iaitu atas bidang dan kepakarannya yang tersendiri. Perlantikan negeri bertujuan untuk memberi mandat kepada kerajaan negeri yang memerintah dan membawa kepentingan negeri di Dewan Negara.
Fakta tersebut jelas bertentangan dengan surat perlantikan beberapa Dewan Undangan Negeri dan sebagai wakil negeri ke Dewan Neara dan juga bertentangan serta mencabar watikah yang memberi kuasa dan kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas status perlantikan dan perwakilan mereka di Dewan Negara.
Kesemua perlantikan ini mempunyai asas mengikut perlembagaan bagi mengawasi dan mengimbangi serta membawa mandat serta suara negeri dan suara professional bagi mendokong semangat demokrasi yang sihat di dalam hubungan dua hala persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia di dalam Parlimen Malaysia.
Kesilapan Ejaan Dan Tatabahasa
Cetakan nama Yang Dipertua Dewan Rakyat di halaman 317 di bawah “Fakta Menarik”, yang ditulis dalam ejaan huruf kecil, adalah mengecewakan — memandangkan entitinya sebagai nama yang tidak sepatutnya boleh tersilap dalam proses suntingan! Begitu juga dengan ejaan huruf kecil dan besar untuk nama rasmi ahli Parlimen di halaman 234 dan juga kesilapan ejaan, secara am.
Buku ini diterbitkan pada tahun 2010. Oleh yang demikian, tidak munasabah dokumen rasmi tersebut dibuat secara dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak diteliti fakta sedemikian.
Tambahan pula, ianya telah dikendalikan oleh Parlimen Malaysia, dan dibantu oleh orang-orang yang mempunyai tauliah yang bekerja sepenuh masa di Unit Penyelidikan Parlimen yang berpengalaman dalam urusan rekod Parlimen. Datuk Kamaruddin Mohamed Baria (Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia) bertindak sebagai Ketua Pengarang, dan seluruh kakitangan unit penyelidikan Parlimen Malaysia — seramai 16 penyelidik — bertanggungjawab atas penebitan buku ini.

Kos Percetakan Yang Tinggi
Buku peringatan ini diperlihatkan dengan begitu indah serta disajikan dengan ilustrasi foto dan gambar yang berkaitan, serta olahan yang dapat dikatakan mudah dibaca, dan akan menjelma sebagai sumber kepada pelajaran. Pembelajaran kita di tanahair akan tentunya menggesa generasi baru untuk menatapnya.
Buku ini juga dijilid dengan kertas berkualiti tinggi, berkulit tebal. Oleh kerana ia dibuat bersempena dengan perayaan Jubli Emas Parlimen Malaysia, sudah tentu ramai pihak yang berminat untuk menyimpannya sebagai rujukan dan rekod.
Sudah tentu, dengan melihat kepada kualiti penerbitannya sahaja, sudah tentu ianya memakan kos yang tinggi. Namun, bagi menjaga kredibiliti Parlimen Malaysia, buku tersebut — dengan kesalahan ejaan dan fakta yang begitu banyak — sepatutnya ditarik balik dan dibekukan pengedarannya, dikeluarkan ralat, dan dicetak semula dengan fakta-fakta yang sahih.
